Sinopsis Tipah Vavavoom

Mengisahkan kerenah dan telatah si gadis yang lurus-bendul, Tipah (Wan Sharmila) yang sering dibuli dan ditertawakan rakan-rakan dan teman sekerja kerana penampilannya yang agak selekeh dan kurang bergaya. Kebetulan, Tipah merupakan salah-seorang pekerja di sebuah resort yang dimiliki oleh usahawan muda yang berjaya, Imran (Kamal Adli), yang turut gemar mengusik Tipah kerana sudah biasa dengan perangainya yang pemalu dan penakut.

Bosan dengan layanan dan persepsi orang di sekeliling, Tipah juga tidak mahu hidup dalam kesepian dan inginkan kehidupan normal seperti gadis-gadis lain. Justeru, Tipah nekad dan mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus motivasi seperti yang disarankan oleh Chef Joe (Bob AF), satu-satunya rakan yang memahami dan menghormati dirinya seadanya. Namun, tiada siapa yang menyangka akan perubahan mendadak yang berlaku seterusnya!

Sekembalinya daripada kursus motivasi, si ‘itik hodoh’ yang sering diejek dan dibuli kini telah berubah menjadi seorang ‘ratu’! Tipah umpama gadis baru yang muncul di resort kerana kelihatan lebih menawan dengan penampilan lebih menarik dan gaya yang lebih berani. Jika dahulu, semua rakan lelaki cuba mengelak dan sering mentertawakan Tipah, kini mereka semua berebutkan perhatiannya termasuklah bos Tipah sendiri, Imran, yang mula menaruh hati padanya. Benarkah cinta itu buta dan tidak mengenal erti kecantikan luaran? Antara Imran dan Chef Joe, siapakah agaknya jejaka yang berjaya memenangi hati Tipah Vavavoom?